? ??????????????Absolution? ????? ?? ???Rating: 4.5 (8 Ratings)??448 Grabs Today. 4269 Total Grabs. ??????
Preview?? | ??Get the Code?? ?? ????1?? ?????Waterfalls? ????? ?? ???Rating: 4.2 (175 Ratings)??314 Grabs Today. 21594 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????For BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday 23 October 2012

Pemuda Da'wah Paling Bersemangat!

"Da'ie ibarat tiram di laut. Dihiris pepasir tercalarlah ia. Sungguhpun terluka tetapi dipendam. Sungguhpun pedih tapi tetap disimpan. Namun akhirnya dibalas mutiara berharga. Perjuangan Islam bukannya ada pilihan tetapi satu amanah ALLAH. Menuntut seribu pengorbanan bagi sesiapa yang dihatinya terselit iman dan Taqwa dan sedar dirinya bertuhankan ALLAH". 



 Mus’ab adalah pendakwah yang hebat, penuh kesungguhan dan kebijaksanaan, antara kisah yang masyhur dan telah diriwayatkan dalam kitab muktabar seperti Hayatus Sahabah karangan Sheikh Yusuf Al Kandahlawi dan Raheeq Makhtum, karangan Safiyyur Rahman Al Mubarakfuri berkenaan pengembaraan dakwah Mus’ab di Madinah adalah kisah pengislaman Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hudair, dua tokoh pemimpin dan golongan elit Madinah. Betapa kegilaan pemuda bertubuh Mus'ab bin Umair menjadi contoh para da'ie dalam meneruskan agenda menegakkan syi'ar islam di bumi ALLAH.

 Bagaimana semangat pejuangnya mengajak manusia berusrah?
Bagaimana pengorbanannya tanpa mengira masa, tenaga dan wang yang dilaburkan?
Bagaimana istiqamahnya di jalan da'wah?

 Setelah lama islam bergerak. Gerakan menyebarkan islam makin berkembang. Kiita dahulunya hanyalah satu entiti kecil, kemudian perlahan-lahan kita membesar, kita berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Bila kita membesar dan terus membesar, kadang-kadang kita jadi cair, kuantiti mengurangkan kualiti, kualiti tenggelam di sebalik timbunan kuantiti. Bahkan kadang-kadang kita hilang jati diri kerana kualiti yang semakin mencair. Di dalam jangka masa pendek ini para da'ie perlu mengembalikan semula kualiti yang sedang cair, yang mana puncanya adalah kerana semakin dinginnya proses Tarbiyyah. Untuk itu kita perlu menghangatkan kembali kedinginan tarbiyyah.

 Kita lihat, bagaimana manusia kaya di zaman jahiliyyah ini, bertranformasi menjadi seorang lelaki yang sanggup mengorbankan diri untuk Islam, dan akhirnya mati sebagai syuhada’. Kisah Mus’ab bin Umair amat unik. Dia digelar ‘putera Makkah’ kerana semua orang mengidamkannya, kerana kekacakannya tetapi apabila hatinya disentuh cahaya Islam, dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan semua kesenangan yang ada pada dirinya.

Dia adalah anak yang paling dicintai ibunya. Segala kehendaknya ditunaikan tetapi apabila dia menganut Islam dan ibunya mengetahui, ibunya telah menarik semua kesenangan Mus’ab. Segala pakaiannya yang cantik-cantik, wang saku, semuanya ditarik, malah Mus’ab dipulau tetapi Mus’ab bin Umair tidak berpaling daripada Islam yang mungkin orang memandang sebagai penarik kekayaan dan kesenangannya. Kenapa? Kerana dia yakin ini adalah jalan yang sebenar, jalan yang membawanya kepada ALLAH. Bila ibunya tidak berjaya menarik Mus’ab kembali kafir, Ibunya mogok tidak mahu makan sehingga Mus’ab kembali. Ibunya bertahan sehingga nyawa-nyawa ikan. Melihat keadaan ibunya, Mus’ab berkata: “Wahai ibuku, andai ALLAH memberikan kamu 100 nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu persatu, saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”. Ya, itulah keteguhannya.

 Kita? Kadang-kadang ibu bapa sendiri suruh kita untuk taat kepada ALLAH tetapi kita ingkar. Sebaliknya bagi Mus’ab bin Umair, ugutan ibunya tidak dijadikan alasan untuk meringankan tuntutan Islam. Ibu, walaupun kafir, kita perlu taat kepadanya selagi mana dia tidak mengajak kita syirik kepada ALLAH atau melakukan perkara yang ALLAH larang tetapi sekiranya mereka mengajak kepada keingkaran terhadap ALLAH, maka kita perlu membantah.

 Mus’ab terus bertukar gaya hidupnya. Dari baju sutera termahal dan terbaik di Makkah, dari minyak wangi yang mampu dihidu dari jarak yang jauh, dari kulit licin cerah putih yang menawan, dia berubah menjadi seorang yang memakai baju lusuh bertampal-tampal, bau tubuh badan biasa, dengan kulitnya menjadi sedikit kasar kerana hidup dalam payah. Rasulullah SAW apabila melihat Mus’ab bin Umair, baginda akan menangis. Sahabat-sahabat juga begitu. Hal ini kerana, mereka segan dengan besarnya pengorbanan Mus’ab bin Umair.  Namun Mus’ab bin Umair tidak pernah menyalahkan Islam. Sedikit pun dia tidak pernah berkata ALLAH itu kejam kerana menyusun hidupnya menjadi susah sebegitu walaupun dia telah memilih kebenaran. Tidak pernah keluar dari mulutnya rungutan dan keluhan atau rasa menyesal mengambil Islam jalan hidupnya. Tidak pernah!

 Kemudian ALLAH memuliakan Mus’ab bin Umair. Rasulullah SAW memilih Mus’ab sebagai pendakwah ke Madinah. Kesungguhan Mus’ab bin Umair membuatkan tidak ada satu pun pintu yang tidak diketuk oleh sinar Islam. Akhirnya, majoriti penduduk Madinah Islam di tangan Mus’ab bin Umair.

 Sa’ad bin Muaz, pada zaman jahiliyyahnya di Madinah sebagai ketua kaum Aws. Dia datang dengan marah ketika Mus’ab bin Umair sedang menyampaikan Islam kepada penduduk Madinah. Bersamanya panah. Sampai sahaja, dia terus menarik baju Mus’ab dan mendekatkan panah itu pada leher Mus’ab. Dia menyuruh Mus’ab menghentikan usaha dakwah. Mus’ab tidak melenting atau menentang.

 Kata Mus’ab: “Apa kata kau duduk dahulu dan mendengar apa yang aku hendak katakan? Kemudian jika kau suka, kau boleh ikuti. Jika kau tidak suka, maka aku boleh pergi”. Kelembutan Mus’ab dan ketenangannya, membuatkan hati Sa’ad bin Muaz lembut. Apabila dia mendengar kata-kata Mus’ab, ceramah Mus’ab dan Islam yang Mus’ab sampaikan, Sa’ad bangun. Dia berkata kepada Mus’ab: “Islam ini, bagaimana aku boleh menganutnya?” MasyaALLAH.

Begitulah dia Mus’ab bin Umair dengan berpegang kepada manhaj al-Quran yang di ajar oleh Rasul s.a.w : "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah an-Nahl :125) 

Rasulullah SAW pun memuliakannya.


 Ketika Peperangan Uhud, Mus’ab bin Umair adalah salah seorang jeneral. Dia pembawa panji. Peperangan itu, menyaksikan Mus’ab bin Umair bertempur ibarat singa. Namun, kerana dia memegang panji, tentera musyrikin berusaha untuk menjatuhkannya. Tangan kirinya yang memegang panji diserang hingga terpotong. Pantas dia memegang panji dengan tangan kanan. Dia terus bertempur, akhirnya tangan kanan turut terpotong.

 Mus’ab bin Umair, untuk mempertahankan panji yang mewakili maruah Islam, terus memegang panji dengan kedua pangkal lengannya. Akhirnya tubuhnya itu dihujani anak panah, menyebabkan dia tumbang syahid. Ketika Rasulullah SAW mendapati Mus’ab bin Umair sebagai salah satu syuhada, beliau membacakan sebuah ayat yang berbunyi: "Di antara orang-orang Mukmin terdapat pahlawan-pahlawan yang telah menepati janjinya dengan Allah.(Surah al-Ahzab: 23) 


Saat syuhada’ Uhud hendak dikebumikan, mayat-mayat syuhada’ Uhud ditutup dengan kain. Kain yang menutupi Mus’ab bin Umair tidak cukup untuk menutup seluruh tubuhnya. Jika kepalanya ditutup, maka kakinya terbuka dan begitulah sebaliknya. Melihat keadaan ini, Rasulullah SAW menangis. Akhirnya diarahkan untuk menutup kepala Mus’ab bin Umair dengan kain, manakala kakinya ditutup dengan daun kering. Begitulah dia kisah seorang syuhada’, ‘putera Makkah’ yang telah berkorban.
 Mus’ab Bin Umair telah memilih kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia yang sementara, masa mudanya dihabiskan untuk da'wah dan perjuangan. Sewajarnyalah kisah Mus’ab Bin Umair ini menjadi inspirasi kepada setiap pemuda Islam hari ini. Semoga kisah Mus'ab bin Umair dapat menyuntik kembali semangat kita untuk meneruskan sunnah terbesar yang ditinggalkan oleh Rasulullah iaitu mengajak manusia kepada agama Islam.


 Renungilah,

 Apakah hala tujukita?

 Halatuju kita ialah Mardhatillah.

 Firman ALLAH di dalam surah Al Bayyinah ayat 7 hingga 8 : “Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah Syurga A’dn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. ALLAH redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepadaNya. Yang demikian itu adalah balasan bagi orang yang takut kepada Tuhannya.” 


 Firman ALLAH lagi di dalam surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30 : "Wahai jiwa yang tenang!. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.”


 Ku tinggalkan secoret kata buatmu pejuang Islam,

 "Bila hati diserah kepada ALLAH, tiada resah tiada gelisah, bila apa yang diburu hanyalah demi mardhotillah, hilang rasa gundah hidup rasa indah. Bila benih cinta disemai dahulu pada Yang Esa, barulah akan menyusul cinta tulus sesama hamba. Pergilah duka, hapuslah kecewa kerana bahagia InsyaALLAH akan tiba, di dunia ini dan di akhirat sana, dengan syarat Iman dan Taqwa kukuh disemai dan tersemat di jiwa, Amal soleh bukti setia Seorang hamba kepada Rabbnya. Amin.. ^^

Tuesday 15 May 2012

Coretan Seorang Hamba


Di dalam sujudku
Kau dengar tangisanku
Di dalam doaku
Kau dengar rintihku
Sepanjang hayatku
Kau lihat segala perbuatanku
Setiap perbuatanku
Kau catat segala dosa pahalaku

Di dalam khayalku
Kau datang mengingatiku
Di dalam kegagalanku
Kau datang memberi pertolongan-Mu
Di dalam kesedihanku
Ayat-Mu melantun ke halwa telingaku
Meleraikan lara jiwaku
Di dalam usahaku
Kau beri kejayaan-Mu
Di dalam kegembiraanku
Kau kurniakan nilai tawa padaku
Di dalam buntuku
Kau datang memberi Hidayah-Mu

Jika aku bukan Islam
Pasti tiada coretan ini di dalam hidupku
Kerana nikmat seorang Islam amat sukar dicoretkan oleh seorang kafir

Aku tadah tanganku
Ku bersyukur pada-Mu Ya ALLAH,
Hindarilah aku dari terpesong dari jalan-Mu
Kerana Kau Yang Maha Mengetahui
Kau lah sebaik-baik perancang
Maka tetapkanlah yang sebaik-baiknya buatku
Supaya dapat ku teruskan hayatku dengan penuh ketakwaan pada-Mu..


DUHAI SAHABAT DAN SAHIBAH KU,
Kadang-kala, dalam keghairahan mencari redha Allah, jiwa kadang-kadang lesu tak bermaya. Apabila ujian satu demi satu diberiNya hati mula keluh kesah. Lagi kuat ujian lagi mula tersasar kita.
Mengapa ya? Jangan dibiarkan sahabatku saudaraku fillah yg kucukup kasihi keranaNya. Gembirakanlah hatimu, ranapkan tahzanmu, garapkan keyakinanmu kepada janji Yg Maha Menunaikan janji, ALLAH Tuhan Sekalian Alam, Dialah Pencipta, Dialah Pentadbir, Dialah Penguasa dan Dialah Pemelihara.
Ikhlaskan hatimu dalam menerima agamaNya Kerana Dia cukup mengasihi hambaNya yg benar-benar ikhlas dalam memperhambakan dirimu kepadaNya. Redhalah dengan ujian yg diberi kepadaMu. Bersabarlah dengan ujian Tuhanmu kerana janjiNya kepadamu terlalu banyak andai kau bersabar..

وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ما أصابك إن ذلك من عزم الأمو "
dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah تعالى )." (QS. Luqman: 17)

" إذا أحب أحدكم أخاه فليخبره. Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mengasihi saudaranya, maka dia hendaklah memberitahu saudaranya itu.”

عن ابي حمزة انس بن مالك رضي الله عنه خادم رسول الله صلي الله عليه وسلم عن نبي صلي الله عليه وسلم قال لا يؤمن احدكم حتي يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Ertinya, daripada abu hamzah anas ibn malik r.a khadam Rasulullah SAW bersabda: Seseorang kamu masih belum benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri..

Friday 20 April 2012

~Hari-Hari yang terindah & teristimewa di Kampung Meranti~


YDP PMFKP Saudara Fikri Muharam Dan Dr.Mosbah Mansor

Dakwat tinta semakin laju mengikut rentak irama kehidupan, bukan penghukum tapi penyeru. Sekadar mencari hakikat kebenaran kerana AL-Quran dan As-Sunnah seiringan.


Cuti pertengahan semester baru-baru ni memberikan saya dan sahabat-sahabat saya satu pengalaman yang sangat indah dan istimewa. Pada mulanya hati saya agak keberatan untuk menyertai program khidmat dakwah masyarakat orang asli di kampung meranti, pekan, Pahang. Namun atas ajakan sahabat saya, saya pergi (dan betullah bahawa ALLAH yang menggerakkan hati-hati kita) dan menyucikan niat sebelum pergi adalah sangat penting. Setelah menghadiri perjumpaan bersama dengan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan iaitu Prof.zulkifli, saya bertekad untuk 'memberi' sesuatu disana (kampung meranti) nanti dan saya dengan bersungguh hati berpegang pada moto da'wah dan tarbiyyah "Islah Nafsak, Wad'u Ghairak". Ingin juga saya petik kata-kata prof, "bahawa kita membawa sunnah yang cukup-cukup besar dan berat" dan kita-kita (saya,anda,mereka) inilah merupakan rantaian perjuangan Rasulullah s.a.w.. kamu kesana bukan untuk bermain-main tapi ada Misi dan Visi penting yang harus kamu semua laksana dan selesaikan. Tempoh yang diberikan kepada kami untuk mengislamkan orang asli yang berbangsa Jakun adalah selama 6 hari.

Program ni juga bukan sekadar untuk kos da'wah dan pengurusan islam malahan pihak fakulti menggabungkan keempat-empat kos iaitu da'wah dan pengurusan islam, pengajian aqidah dan agama, kaunseling dan komunikasi. Tujuan menggabungkan keempat-empat kos ni adalah untuk membina "satu keluarga" yang cukup erat antara satu sama lain disamping memberikan kerjasama dan kesatuan yang jitu dalam merealisasikan "point" dalam program ni.


~pengarah program saudara Amir Ghani bersama ustaz dari JAKIM (jika tak silap)~

Ingin saya petik taujihad yang diberikan oleh Tariq bin Ziyad,
"Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian mahu lari? Demi ALLAH, apa yang kalian miliki hanya kejujuran dan kesabaran"..

"Berlawan pada jalan ALLAH hanya salah satu aspek jihad. Ini juga dalam Islam bukannya satu perbuatan pengganasan yang menggila. Ia mempunyai fungsi material dan moral, iaitu pemeliharaan diri sendiri dan pemeliharaan peraturan moral di dunia."
-Sahih Muslim, III:muka surat 938-ayat penjelasan.-

Sungguh, aura jihad yang dibawa oleh Tariq bin Ziyad telah menaikkan semangat saya untuk terus berjuang di jalanNya.

Antara Aktiviti yang berlangsung sepanjang 6 hari disana :



~Ketibaan pelajar di kampung meranti~ 07/04/12



saya juga ingin selitkan 10 rukun bai'ah
1- Faham
Telah diletakkan batas-batasnya dalam Ushulul 'Isyrin. Faham dan seterusnya meyakini bahawa fikrah kita adalah Fikrah Islamiyah yang sebenar.


2- Ikhlas
Semata-mata mengharap redha ALLAH dalam setiap kata dan tindakan.



3- Amal
Meliputi perelokan diri, pembentukan Rumah Tangga Muslim, pendidikan masyarakat, pembebasan tanah air, pengislahan pemerintahan dan mengembalikan kedaulatan Islam di peringkat antarabangsa.


4- Jihad
Yang dimulai dengan pengingkaran hati, dan diakhiri dengan perang di jalan ALLAH.


5- Pengorbanan
Yakni mempersembahkan jiwa, harta benda, waktu dan segalanya demi meraih cita-cita.


6- Taat
Yakni melaksanakan perintah, baik dalam keadaan sulit mahupun mudah, dalam keadaan berat mahupun ringan, selagi mana tidak membawa maksiat kepada ALLAH.



7- Tetap Pendirian (Tegar)
Yakni bahawa setiap anggota sentiasa bekerja dalam jihad menuju cita-citanya.


8- Tajarud (Bertekad)
Yakni bahawa akal fikiran seorang anggota harus bersih dari jalan fikiran asing. Yang ada hanya jalan fikiran milik sendiri. Baik terhadap sesuatu prinsip ideologi mahupun individu tertentu.


9- Ukhuwwah
Yakni pengikatan hati dan jiwa dengan ikatan aqidah.






10- Thiqah (Kepercayaan)
Yakni kepercayaan dan kepuasan seorang jundi terhadap kemampuan dan ketulusan hati qiyadahnya.


~Mak ayah angkat jannah dan yusma (student da'wah tahun 2) yang masuk islam pada hari yang ke-6~



~Ayah angkat sakinah (student da'wah tahun 2) yang masuk islam pada hari terakhir sebelum berangkat pulang ke USIM~

Just the simple one. But hard to practice.

Tarbiyyah bukan semata-mata fikrah. Tarbiyyah bukan semata-mata kekuatan hujjah. Tarbiyyah bukan semata-mata ilmiah namun ianya adalah proses perubahan melalui pengalaman beramal dengan ilmu, berpegang dengan fikrah juga pengalaman mengendalikan diri dalam berhadapan arus kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan tanggungjawab perjuangan. Tarbiyyah adalah satu proses merasai pengalaman bagaimana rasanya berpegang teguh dengan Islam sebagai cara hidup, bagaimana rasanya bila beramal dan merasai lazatnya beramal, bagaimana rasanya bila berjuang dan merasai pahit getir perjuangan, bagaimana rasanya susah payah perjuangan dan bersabar dalam bersusah payah. Oleh itu, jika pernah rasa senang maka kena juga rasa susah, jika pernah rasa menang maka kena juga rasa kalah, jika pernah rasa kuat maka kena juga rasa lemah. semua itu memberi pengalaman merasai sunnah dan realiti perjuangan. Barulah seorang pejuang itu menjadi matang dalam tarbiyyah dan da'wahnya.

Alhamdulillah, dikampung meranti kami dapat menguatkan ukhuwah antara satu sama lain.
saling memberikan hamasah dan perangsang dikala lemah. semuanya mewujudkan rasa kasih dan sayang antara kami dan penduduk kampung meranti.

{"Allahumma ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana 'ala deenik."}

gambar setiap kos di bawah Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan:


~Da'wah Dan Pengurusan Islam~


~Komunikasi~


~Kaunseling~


~Pengajian Aqidah Dan Agama~

# Semoga Redha ALLAH sentiasa bersama-sama kita sehingga ke syurga nanti #
Uhibbukum Fillah Abadan Abada.. (^__^)

Renungan buat diriku dan dirimu..
Kembara kita di jalan sehala
semakin ke penghujung,
mengalas dua bekal,
dosa dan pahala,
bakal bertemu dua persimpangan,
syurga atau neraka.

saya tinggalkan kalian dengan satu lirik lagu,


Semalam aku kelukaan,
Kecewa kehampaan,
Mencalar ketabahan,
Impian seringku harapkan menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian,

ALLAH,
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam lemah daya,
Haruskah aku mengelamun jiwa
Ku berbisik inilah dugaan,

Dan langkahku kini terbuka
Pada hikmah dugaan uji keimanan
Dan dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan.

ALLAH,
Pimpini diriku,
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan,
Agar mimpi jadi nyata
padaMu ku meminta.

Dan ku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu

Sunday 15 April 2012

Let's Strive For ISLAM!!



Para pendakwah dan guru agama perlu mengambil aspirasi daripada hadith ini, daripada Abu Musa bahawa Rasulullah bersabda, ertinya :

"Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang ALLAH utus aku dengannya seperti perumpamaan hujan lebat yang membasahi tanah. Ada tanah subur yang dapat menyerap air sehingga menumbuhkan banyak tumbuhan dan rumput. Ada tanah kering yang dapat menampung air sehingga ALLAH menambahkan manfaat kepada manusia dengannya mereka dapat minum, mengambil air dan bercucuk tanam. Sementara sebahagiannya lagi mengenai tanah yang tandus dan gersang, tidak dapat menampung air dan tidak dapat menumbuhkan tanaman. (perumpamaan pertama) adalah misalan bagi orang yang mendalami ilmu agama ALLAH, dia boleh mengambil manfaat daripada hidayah yang aku diutus oleh ALLAH dengan membawanya sehingga dia berilmu lalu mengajarkannya. Selanjutnya, (perumpamaan kedua) adalah misalan orang yang tidak peduli dengannya dan tidak menerima hidayah ALLAH yang aku diutus dengannya." (Shahih Al-Bukhari, kitab Al-'ilm, Bab Fadhl man 'alima wa 'allama)




Terdapat 3 kumpulan manusia dalam hadith tersebut :

1) Manusia yang berilmu, beramal dan mengajarkan ilmu. Nabi memperumpamakan maereka dengan tanah subur yang dapat menyerap air sehingga menumbuhkan banyak tumbuhan dan rumput.

2) Manusia yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu tersebut namun orang ini tetap menyebarkan ilmu tersebut. Nabi memperumpamakan sebagai tanah kering yang dapat menampung air sehingga ALLAH memberikan manfaat kepada manusia dengannya.

3) Manusia yang mendengar ilmu tetapi tidak mengamalkannya dan tidak menyampaikannya kepada orang lain. Nabi menggambarkannya sebagai tanah yang tandus dan gersang, tidak dapat menampung air dan tidak dapat menumbuhkan tanaman. (Ibn Hajar Al-Asqalani, Fath Al-Bari)

*Apa perkara yang perlu didakwahkan?
jawapannya, "Aqidah yang pertama".
berdakwahlah kepada mereka tentang aqidah, perkara paling asas atau fundamental dalam agama ini. Aqidahlah yang diperjuangkan oleh semua Rasul terlebih dahulu sebelum membetulkan mana-mana ketidakadilan sosial.
ALLAH merekodkan seruan para Rasul ini,
"Maka bertaqwalah kamu kepada ALLAH dan taatlah kepadaku" (Surah Asy-syu'ara')

Wednesday 14 March 2012

*Merenungi Hakikat Da'wah*


Kehidupan Rasulullah adalah kehidupan dakwah. Selama 23 tahun lamanya Rasulullah berkecimpung dalam dunia dakwah. Di sepanjang tempoh itulah, dakwah untuk mengajak seluruh umat manusia kepada Islam secara kaffah (menyeluruh) terus menerus berlaku tanpa mengerti penat dan lelah. Pada waktu itu, baginda menghadapi tentangan dan halangan daripada kaum musyrikin dalam pelbagai bentuk, baik secara fizikal mahupun secara pemikiran. Walaupun demikian, baginda tidak pernah berhenti apatah lagi berundur dalam memikul beban tugas yang mulia ini.

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (Muhammad), 'Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin. Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orangt-orang musyrik.” [Surah Yusuf (12): 108]

Selama 23 tahun Rasulullah berjuang dengan penuh bersungguh-sungguh dalam meninggikan kalimat-kalimat Allah untuk diterapkan di atas muka bumi ini. Hasilnya, Rasulullah berjaya membina dan membentuk masyarkat Islam, mendirikan sebuah Daulah (Negara) Islam serta dapat menyatukan umat manusia yang sebelum ini berpecah-belah dalam rangka asabiyah menuju kepada bersatu di bawah aqidah dan panji Islam.

Kejayaan Rasulullah tersebut adalah merupakan suatu kenyataan kerana apa yang dilakukan oleh Rasulullah kesemuanya adalah bersumber daripada wahyu semata-mata dan bukannya datang daripada kehendak dan keinginannya sendiri. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

“… Aku tidak mengikuti melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". [Surah al-An’am(6): 50]

Dari segi mafhum ayat di atas, ia membawa maksud bahawa Rasulullah tidak melaksanakan sesuatu hukum atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan ia hanya berdasarkan wahyu daripada Allah SWT semata-mata. Tidak ada jalan lain bagi kita yang mengaku sebagai umatnya untuk tidak melakukan perkara yang sama seperti Rasulullah kerana kewajipan untuk melakukan dakwah juga terkena kepada umatnya.

Halangan Dakwah

Dakwah Rasulullah SAW tidak pernah sepi daripada pelbagai ujian, rintangan dan cabaran. Pada peringkat awal dakwah, Rasulullah dan para sahabat menghadapi pelbagai halangan berupa gangguan, penghinaan serta seksaan sehingga ada membawa kepada kematian sepertimana yang dialami oleh Bilal Bin Rabah, keluarga Yasir, Khabab Bin al-Arts, Abu Dzar al-Ghifari dan Ibnu Mas’ud. Begitu juga dengan pemboikotan yang dilakukan oleh kafir Quraisy terhadap kaum Muslimin disebabkan oleh keteguhan hati mereka dalam berpegang dan menyampaikan risalah Islam. Semua ini merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan berdakwah serta ujian yang sememangnya telah menjadi sunnatullah.

Kisah-kisah mereka itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar senantiasa beristiqamah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab dakwah ini walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi. Hatta jika berdepan dengan ancaman maut oleh penguasa yang zalim sekalipun, janganlah kita sekali-kali meninggalkan dakwah, apatah lagi untuk menyesal dalam melaksanakan tanggungjawab yang mulia ini. Dalam kitab Sirah Ibnu Hisyam diriwayatkan bahawa Zuhri menceritakan sebagaimana berikut:

“Rasulullah Saw pernah mendatangi (berdakwah) secara peribadi terhadap Bani Kindah, tetapi mereka menolak. Baginda mendatangi Bani Kalban, tetapi mereka menolak. Baginda mendatangi Bani Hanifah dan meminta nusrah (pertolongan) dan kekuatan kepada mereka. Namun tidak ada orang Arab yang lebih keji penolakannya terhadap baginda kecuali Bani Hanifah. Baginda juga mendatangi Bani Amir Bin Sha’shaah, mendoakan mereka kepada Allah dan meminta kepada mereka secara peribadi. Kemudian berkata salah seorang lelaki daripada mereka yang bernama Baiharah bin Firas, “Demi Allah, seandainya aku menerima (ajakan) pemuda Quraisy ini (yakni Muhammad), sesungguhnya orang Arab akan murka (kepada kita).” Kemudian ia berkata, “Apakah pendapatmu jika kami membai'ahmu dalam urusanmu, kemudian Allah memenangkanmu ke atas orang yang menentangmu. Adakah kami akan diberi kekuasaan selepas engkau (wafat)?.” Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Urusan (kekuasaan) itu hanyalah milik Allah yang Dia akan memberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.” Baiharah berkata, “Adakah kami perlu menyerahkan leher-leher kami kepada orang Arab, padahal jika Allah memenangkan kamu, urusan (kekuasaan) itu bukan untuk kami. Kami tidak memerlukan urusanmu.” (Sirah Ibnu Hisyam Jilid 1).”

Petikan sirah di atas menjadi bukti bahawa Rasulullah SAW secara terus menerus berdakwah dan mengajak kaumnya kepada Islam walaupun menghadapi pelbagai ujian dan rintangan yang hebat. Ujian dan rintangan tersebut tidak pernah mengurangkan semangat dakwah baginda, apatah lagi membuatkan beliau lesu di dalam dakwah. Baginda senantiasa beristiqamah dan ikhlas sehinggalah Allah SWT memenangkan dakwah baginda dengan kejayaan menegakkan Daulah Islam yang pertama di Madinah, menerapkan sistem Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam seluruh aspek kehidupan dan menyebar luas risalah Islam ke segenap penjuru dunia melalui dakwah dan jihad.

Tiada Alasan Untuk Meninggalkan Berdakwah

Secara realitinya, halangan dakwah yang berlaku di negara ini tidaklah seberat mana jika dibandingkan sepertimana yang dialami oleh para pendakwah di negara-negara lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan ujian yang dialami oleh Rasullah sendiri dan para sahabat beliau pada masa lalu. Sebenarnya tidak ada alasan bagi kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk tidak bersemangat dan bersifat lemah longlai di dalam berdakwah. Jika ujian yang kita hadapi di saat ini setara dengan apa yang dialami oleh baginda Rasul dan para sahabat sekalipun, ia masih tetap tidak menggugurkan kewajipan kita untuk terus berdakwah. Sudah menjadi sunnatullah bahawa dakwah akan sentiasa sinonim dengan ujian dan cabaran.

Oleh kerana itu, kita perlu sedar bahawa aktiviti berdakwah akan selalu mendatangkan risiko bagi para pelakunya. Ramai kaum Muslimin pada hari ini menyedari akan hal ini tetapi mereka tetap lalai atau cuba mengelak daripada melakukan dakwah hanya kerana masalah-masalah yang remeh seperti larangan orang tua, sibuk dengan kerjaya, tiada masa lapang (untuk dakwah) dan lain-lain lagi alasan yang pada hakikatnya ia hanyalah bersifat duniawi dan dapat diatasi dengan penuh bijaksana. Mereka lebih rela disibukkan dengan urusan mencari kekayaan dunia dan mencari keredhaan manusia berbanding mencari bekal untuk akhirat dan mencari redha Allah SWT.


“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian tersebut) Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” [Surah al-Ankabut (29): 3]

Wahai kaum Muslimin, janganlah sekali-kali kita mengaku bahawa kita sudah beriman dengan sebenar-benarnya sedangkan kita telah meninggalkan tugas dakwah yang mulia ini. Sesungguhnya kita telah berbohong kepada Allah dan RasulNya jika kita mengaku bahawa kita adalah sebahagian daripada pendakwah, walhal pada hakikatnya kita merasa terbeban dengan kerja-kerja dakwah yang memerlukan banyak pengorbanan sama ada dari segi harta, masa, tenaga dan malah nyawa. Bersabarlah atas segala ujian yang datang menimpa dan yakinlah bahawa setiap ujian yang mendatang merupakan salah satu bentuk bagaimana Allah SWT ingin meninggikan darjat seseorang jika ia terus bersabar, tabah dan beristiqamah di jalan dakwah.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali." [Surah al-Baqarah(2): 156].

petikan : mykhilafah..


p/s : anda berhak untuk membaca, memikirkan, menghayati dan memanfaatkannya namun untuk terus menerima dan bersetuju dengan segala perkara yang saya 'berikan', anda yang lebih mengetahui. Saya juga menerima apa sahaja sokongan, dorongan, teguran, pandangan dan kritikan yang membina dengan penuh perasaan mahabbah dan ukhuwah Islamiyyah yang dibaluti dengan akhlak yang mulia dan terindah. ^__^

Saturday 10 March 2012

Menjana Pemikiran Pemuda, Bangkitlah Wahai Pemuda Islam!


Sejak zaman-berzaman, kegemilangan sesebuah tamadun adalah bergantung kepada kekuatan pemuda yang hidup pada zaman mereka. Pemuda digambarkan sebagai satu golongan yang bersemangat untuk merealisasikan apa yang terbuku dalam hati mereka dan merekalah golongan yang beridealisme tinggi.

Adalah silap apabila wujud suara yang menghadang idealisme kerana kadang-kala idealisme harus dikembangkan untuk mewujudkan satu impian dan plan bertindak yang realistik dan sistemik.

Perjuangan Rasulullah SAW yang tampak idealis didokong oleh golongan pemuda di saat golongan tua menolak baginda SAW. Pemuda berada di celah-celah kegilaan dan apabila mereka inginkan sesuatu, mereka akan lakukan dengan semangat 'kegilaan' yang ada pada diri mereka. Saya suka istilahkan kegilaan itu sebagai semangat 'ekstasi'.

Ekstasi ialah satu saat kemuncak dalam hidup seseorang yang mana ketika itu ia akan berasa satu kekuatan yang entah dari mana muncul dalam diri mereka dan mendorong mereka untuk bertindak di luar kemampuan mereka. Ini digambarkan oleh Zaid bin Harithah yang hanya mengambil masa selama tujuh hari untuk mempelajari dan menguasai bahasa Yahudi. Imam Al-Syafie sendiri mempamerkan ekstasi beliau apabila mula menjadi guru kecil sewaktu berumur 10 tahun dan dilantik sebagai mufti muda ketika usianya mencecah 15 tahun.

Ekstasi melahirkan satu perubahan, atau kita menyebutnya sebagai reformasi. Perubahan merupakan satu perkara yang tidak tetap, dan setiap zaman memerlukan perubahan.

Hal ini digambarkan oleh seorang ulama yang memelihara anjing dan beliau telah dikritik oleh para pendokong mazhab anutan beliau. Beliau lantas menjawab: "Sekiranya guru kita berada dalam lingkungan kita pada masa sekarang, nescaya bukan sekadar anjing, bahkan singa pun boleh kita pelihara".

Setiap manusia, bahkan negara dan bangsa memerlukan kepada perubahan. Bangsa yang tidak berani berubah adalah bangsa yang lemah dan dayus dalam berijtihad. Negara yang tidak berubah adalah negara yang kekal mundur dan tidak akan maju selamanya.

Pemikiran lama akan ditenggelamkan oleh pemikiran baru.


Albert Einstein berkata:

"Masalah zaman kita tidak mampu untuk diselesaikan oleh pemikiran pada zaman kita". Perubahan menuntut kecekalan dan keberanian, bukannya jiwa-jiwa yang dayus dan lemah. Orang yang penakut akan kekal berada di tampuk yang lama kerana mereka sudah hidup dalam zon acuh tidak acuh, namun orang yang berani akan melakukan perubahan dari masa ke masa tanpa mengira cercaan dan gugatan terhadap mereka.

Hanya pemuda dan kepemudaan mampu mendokong perubahan. Tatkala para malaikat tidak sabar untuk menghumbankan bukit-bukau ke atas penguni Thaif yang mencerca Rasulullah SAW, baginda lantas menghalang niat para malaikat. Pandangan baginda ternyata jauh dan analitikal: "Boleh jadi lahir daripada sulbi mereka, zuriat yang akan mengimani risalahku ini".

Ya, generasi baru harus dibentuk mulai sekarang. Generasi yang tidak hanya melihat dengan pandangan singkat dan dekat, tetapi generasi berpandangan jauh dan meluas, seolah-seolah sayap matahari yang tidak hanya melimpah di satu tempat tetapi menerangi seluruh alam.

Kita boleh perhatikan riak-riak perubahan yang sedang berlaku di Turkey. Sepanjang mereka berpayungkan sistem sekularisme, ekonomi mereka tidak berkembang dan mereka hidup dalam suasana yang kucar-kacir. Nama mereka tidak disebut-sebut sebagai sebuah negara yang maju setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tetapi setelah wujudnya generasi baru yang membawa pemikiran dan budaya hidup yang menongkah arus, maka kita dapati gelombang perubahan berlaku dengan pesat.


Malah, Turkey merupakan negara ke-6 termaju dalam Eropah dan negara ke-16 di dunia yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar. Apa yang menarik juga Turkey merupakan negara dunia ke-13 yang paling menarik dan berdaya saing.

Umat Islam harus memiliki jiwa kepemudaan yang tinggi. Jiwa kepemudaan tidak hanya dimiliki oleh pemuda, malah semua orang berhak untuk memiliki jiwa dan semangat kepemudaan ini. Jiwa yang sentiasa meronta-ronta untuk membuahkan pembaharuan dari semasa ke semasa supaya ummah tidak ketinggalan dan hanya mengikut dari belakang.

Jiwa kepemudaan juga perlu supaya kita tidak hanya memasang angan-angan seperti Mat Jenin, atau hanya berperilaku seperti Luncai dengan labu-labunya. Cukuplah, kita sudah tidak tahan dan sanggup didendangkan dengan cerita-cerita yang melembapkan pemikiran kita seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Awang Kecil, Sang Luncai sebagaimana negara Arab yang mempopularkan kisah Juha, Abu Nawas dan 1001 Malam, sedangkan Barat sudah meluaskan empayar penguasaan mereka hingga ke angkasa lepas.

Orang kita melihat udara lalu terciptalah layang-layang sedangkan Barat mencipta kapal terbang. Orang kita melihat sungai untuk berenang, sedangkan Barat mencipta kapal. Malah saya ingin menambah lagi, orang kita melihat bulan untuk menentukan waktu Ramadhan dan Syawal, sedangkan Barat melihat bulan lalu dijelajahnya. Tepuk dada, tanyalah DIRI.

IluvIslam..

*Ukhuwah Fillah Abadan Abada*


Tangan mencapai telefon bimbit di atas meja. Tangan dilarikan di skrin. Unlock.

1 new message.

Open. Mata dilarikan membaca isi kandungan pesanan tersebut. Nafas ditarik. Perlahan. Exit.

Air mata jatuh, setitis. Sepertinya hati juga sedang menangis.

Sahabatku, aku juga rindu kamu. Bahkan tersangat rindu. Andai sahaja kau tahu betapa aku rindu waktu kita dahulu. Andai sahaja kau tahu ada sahamnya kamu dalam setiap tadahan tanganku. Andai sahaja dapat aku memberitahumu.

Kau kata, kau malu. Malu dengan diriku waktu ini. Malu dengan penampilanku serupa ini. Malu dengan sifatku sekarang ini. Aku sudah berubah. Malah sudah jauh berubah. Sedangkan kau masih di tempat yang sama setelah sekian lama.

Sahabatku, aku pinta. Jangan malu denganku. Malulah kamu dengan Tuhanku. Kerana aku juga sepertimu. Seorang insan biasa, seorang hamba kepada Tuhannya. Aku ini tiada istimewanya. Aku hina. Banyak dosanya. Tidak terhitung jika mahu dikira setiap satunya.

Aku punya pilihan. Aku pilih jalan ini. Aku pasti. Tidak akan pernah berpatah kembali.

Tahu, kau juga punya pilihan. Pilihan untuk mengubah hidupmu. Kau juga boleh berubah. Seperti aku, seperti dia, seperti yang lainnya. Tiada apa yang mustahil. Cuma yang menentukan perubahan apa yang kau pilih. Jalan apa yang kau pilih untuk ikuti.

Kalau benar kau mahu berubah. Pasti akan ada pintu yang Tuhan buka untuk membantu. Pintu-pintu yang kau sendiri tidak sangka akan bertemu dari tempat yang tidak pernah kau tahu. Aku juga pasti, Tuhan akan menghantar orang-orang yang baik untuk bersamamu. Dalam apa jua keadaan, mereka tetap akan teguh bersamamu. Menghulurkan tangan membantu, mengangkat apabila tersungkur, menyedarkan dari kealpaan indah dunia itu. Mereka yang akan bersamamu. Bersusah payah mempimpinmu untuk berubah.




Sahabat, andai sahaja kau tahu indahnya hidup ketika diri sujud menghadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu indahnya perasaan ketika ditemani dengan redha dan syukurmu terhadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu keindahan sebenar dunia apabila sentiasa ditemani bayangan mati.

Aku pasti.

Bahawa kau tidak akan berlengah lagi. Kau tidak akan berkata sekejap lagi. Kau tidak akan tunggu tibanya nanti.

Aku pasti.

Kau akan bersujud tika ini. Kau akan memohon ampun saat ini. Kau akan redha atas ketentuan hidup yang diberi. Kau tidak akan pernah berniat untuk kembali kepada kehidupan indah lampau yang hanya berdasarkan duniawi.

Itu, aku pasti. Malah tersangat pasti.

Andai sahaja dapat aku terangkan perasaanku ketika ini. Andai sahaja dapat aku berkongsi sedikit rasa hati. Andai sahaja dapat aku beri rasa indah ini. Pasti sudah aku beri. Pasti sudah aku kongsi.

Aku mahu kau rasa perasaan itu. Perasaan indah mencintai Ilahi. Perasaan indah yang langsung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perasaan yang langsung tiada tolok bandingnya.

Andai sahaja dapat aku kongsi.

Sahabat, aku mahu kau tahu. Kau sentiasa ada dalam doaku. Aku mahu kau tahu. Yang aku sentiasa mendoakanmu untuk menemukan jalan terindah dalam hidupmu. Aku mahu kau tahu, aku mahu jadi temanmu. Selamanya. Hingga ke syurga.

Kamu janji, tunggu aku ya?

uhibbukum fillah > ain, ika, miza, eqah, sila, eyda, syitah, dija and all my friends..

Untukmu Solehah!


Assalamu'alaikum solehah,

Apa khabar hati dan imanmu hari ini?

Mengapa aku lihat dirimu bagaikan tidak keruan? Soal hati ya..



Wahai solehah, payah bukan tatkala kita jatuh cinta?

Kadang-kadang rasa itu hadir, kadang-kadang rasa itu hilang.

Percayalah, saya tahu bagaimana rasanya.

Jangan pernah dibunuh rasa itu!



Namun, tuntunlah fitrah itu sebaiknya dengan zikrullah.

Usah lumurkan sucinya fitrah itu menjadi lumpur fitnah.

Usah pula dipalitkan hatimu dengan kerinduan yang dusta.

Hatimu dan hatinya bukan milik sesiapa.

Milik pencipta kita selamanya. Dia yang memegang hati kita.

Hadirnya rasa itu sebagai hadiah ujian. Sebagai tarbiah.


Tabahlah wahai solehah, moga diberi kekuatan selalu.

Pintalah pada Pemilik Hati yang mengawal rasa itu.

Dia Maha Mengetahui bahawa kita mampu.

Yakinlah, rintihan kita, aduan kita takkan pernah sia-sia.

Dia Maha Mendengar bukan? Dia lagi Maha Penyayang.

Mana mungkin doa-doa hambanya yang solehah tidak didengari.

Ingat, Tuhan kita akan berikan kita semua yang kita perlu,

bukan hanya semua yang kita mahu.



Kelak pada akhirnya, selepas semua ini berjaya kita harungi,

semuanya akan menjadi tersangat indah.

Waktu itu akan tiba jua duhai solehah.

Saat hatimu dan hatinya tenang bersatu diabdikan hanya kepadaNya.

Imam solatmu akan tiba kelak. Dekat.

Penantianmu akan berakhir dengan sebenar-benar persediaan.

Ilmu, hati dan doa perlu dirapi


Andai belum cukup bersedia. Mujahadahlah wahai solehah.

Doaku untukmu agar selalu dirimu kuat.

Selamat bermujahadah sayangku solehah.

IluvIslam..

*Cintai Al-Quran*


‎"Jiwa yang tidak membaca al - Quran umpama telefon bimbit kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya , tetapi tidak berguna. Begitulah juga dengan jiwa yang mati betapa segak, cantik , bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran namun tanpa al -Quran segalanya tidak berguna " - ust pahrol mohamad juoi.

Golongan Bahagia Dan Hina Dalam Menuntut Ilmu.

Nasihat Muaz bin Jabal berhubung fadhilat mengajar ilmu, katanya, "Ilmu adalah teman seiring ketika keseorangan. Orang memiliki ilmu laksana mempunyai guru sebagai pembimbing dan teman, meskipun berseorangan. Dengan ilmu membolehkan manusia mengEsakan dan mentaati Allah dengan penuh kepatuhan dan kefahaman. Ilmu juga penunjuk arah dalam menegakkan agama Allah Taala, ia jadi penghibur ketika menderita dan kesusahan".


Nasihatnya lagi, "Allah Taala mengangkat orang tertentu (daripada kalangan berilmu) menjadi pemimpin, orang ramai boleh menuruti jejaknya".


Berdasarkan nasihat Muaz itu menunjukkan seorang pemimpin mestilah mereka yang berilmu, khususnya ilmu mentauhid Allah Taala. Nasihat Muaz seterusnya, "Seorang manusia (berlimu) akan sampai ke peringkat orang yang baik-baik dan ke darjat yang tinggi".


Nasihatnya lagi, "Dengan memiliki ilmu menjadi sebab seseorang itu rela bertaraf hamba di sisi Allah Taala". Dengan bertaraf hamba, lahirlah ketaatan yang mutlak kepada Allah Taala. Tidak salah mengaku sebagai rakyat kepada sesuatu negara, tetapi ia mesti didahului dengan ikrar penghambaan kepada Allah Taala. Untuk menjadikan diri sebagai hamba, mereka wajib mengenali siapa Allah Taala dan siapa dirinya. Untuk itu mereka mesti mengaji daripada orang alim yang mursyid.


Seorang yang berilmu berkewajiban mengajar orang lain pula, agar orang itu mengerti dirinya sebagai hamba Allah Taala. Jika kuli sanggup patuh dengan arahan majikannya, maka sebagai hamba Allah Taala semestinya lebih bersedia melaksanakan segala suruhanNya, tanpa mengira waktu siang atau malam dengan wang ringgit emas permata serta jiwa dan nyawa.


Nabi Muhammad S.A.W itu bukan saja sebagai Rasulullah, tetapi Allah Taala menyebut sebagai 'hamba Allah', seperti yang ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud, "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan 'hambaNya' pada suatu malam dari Masjid Al Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Baitulmaqdis)". (Al Isra':1)


Dalam ayat ini Allah Taala telah memperjalankan hambaNya, tidak pula menggunakan perkataaan NabiNya atau RasulNya, sedangkan bagi manusia sebagai umatnya lebih selesa menggunakan perkataan Nabi atau RasulNya berbanding dengan hambaNya. Sesungguhnya Allah Taala mengasihi seseorang atas kadar sifat kehambaannya. Semakin seseorang memperlihatkan kesetiaannya kepada Allah, semakin terserlah sifat ubudiyahnya. Nabi Muhammad S.A.W adalah kemuncak hamba Tuhan di muka dunia.


Justeru, sifat kehambaan itu menyebabkan Allah Taala menyebut memperjalankan 'hambaNya' di suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sebutan hamba itu lebih tepat di sisi Tuhan Yang Esa. Sebab itu, nama-nama yang paling baik untuk manusia ialah yang dimulai dengan 'Abdu' (hamba) seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan sebagainya. Kajian menunjukkan bahawa nama yang dimulai dengan Abdu hanya ada pada orang Islam, tidak wujud di kalangan penganut agama lain.


Kesan daripada ilmu yang dipelajari, masyarakat Islam sangat berbangga dengan taraf hamba Allah Taala. Justeru, AsmauLlah Al Husna yang 99 itu boleh dirangkaikan dengan 'Abdu' untuk dijadikan nama bagi anak anak keluarga mereka. Dengan sebab ilmu manusia sanggup menjadi hamba Allah Taala (Wabihi Yu'bad). Jika semakin tinggi seseorang itu mengaji tetapi tidak bersedia menjadi hamba Tuhan bahkan menjadi hamba pihak lain seperti hamba harta kekayaan, hamba nafsu dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan ilmu yang dikehendaki Allah Taala.


Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Jika orang alim yang bersikap demikian ia digelar sebagai 'ulama us Su' (ulama yang rosak).




Nasihat Muaz bin Jabal lagi, "Dengan ilmu itu manusia sanggup meng-Esakan Allah Taala (Wabihi Yuwahhadu)". Yang dimaksudkan dengan tuhan ialah sesuatu yang disayangi hingga dipuja dan ditaati oleh manusia. Mereka sanggup membuang masa untuk berbalah dan berselisih pendapat mengenainya. Persoalan itu mengikut istilah ialah 'Ma'bud' (perhambaan) sama ada dengan sedar atau sebaliknya mereka telah menjadikannya sebagai tuhan. Dengan pengertian itu maka banyak perkara yang dijadikan tuhan oleh para pemujanya, tetapi semuanya ditolak oleh Islam kecuali hanya Allah Taala sahaja Tuhan Yang Maha Esa yang dapat memberi hidayah dan menyelamatkan manusia di akhirat.

Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu itu manusia menjadi warak". Maksud warak ialah sanggup meninggalkan perkara yang Tuhan tidak setuju walaupun ia hanya makruh, padahal melakukan yang makruh tidaklah berdosa. Sekadar meninggalkan yang haram tidak dinamakan warak, kerana ia hanya suatu kewajipan sebagai seorang Muslim dan mukmin, sebagaimana mereka wajib melaksanakan perintah Allah Taala yang lain.

Nasihat Muaz seterusnya, "Dengan ilmu juga manusia berusaha menghubung silaturahim". Kejayaan besar Nabi S.A.W ialah menjalin silaturrahim di kalangan umat yang sedang berkerisis berdasarkan ajaran Al Quran. Apabila sesama umat Islam berjabat salam, serentak itu lidah mereka mengucap selawat atas Nabi s.a.w. Sebagai mengenang jasa Nabi S.A.W telah menjalinkan silaturahim antara puak Arab yang berpecah.

Nasihatnya lagi, "Ilmu ibarat imam dan amalan adalah makmumnya". Yakni ilmu dan amal tidak boleh dipisah, jika ilmu tidak diamal, maka ilmu menjadi sia-sia.

Tazkirah akhir Muaz, "Diilhamkan ilmu agama untuk insan yang bertuah (sa'adah), dihalangNya ilmu kepada golongan yang celaka (asqiya')".

*TintaTarbiyah..

*Menjaga Adab*


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim


Huraian
i) Islam adalah agama yang mengajar umatnya nilai peradaban yang tinggi serta sopan santun yang terpuji. Maka individu yang benar-benar beriman semestinya akan mengamalkan segala ajaran Islam untuk menjaga keselamatan dirinya iaitu dengan memelihara percakapannya demi menjaga hubungan baik dengan jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya sesuai dengan keadaan masing-masing.

ii) Sebelum berkata hendaklah berfikir terlebih dahulu, bila didapati tidak ada bahaya kerananya, berkatalah, tetapi jika sebaliknya diamlah kerana diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang yang terpuji melainkan jika diam dari mengatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah kerana diam seperti ini adalah diam yang dicela oleh agama.

iii) Setiap umat Islam hendaklah bertimbang rasa dalam pergaulan sesama jiran kerana jiran adalah orang yang paling dekat selain daripada sanak-saudara yang tinggal di sekeliling.

iv) Memuliakan tetamu pula maksudnya ialah melakukan kebaikan kepada mereka sebagai orang yang datang berkunjung ke rumah di mana selaku tuan rumah hendaklah melayan tetamu mereka dengan senang hati, sopan dan memberikan jamuan kepada mereka sesuai dengan keadaan dan kemampuan. Manakala bagi tetamu pula hendaklah sebaik mungkin tidak sampai menyusahkan tuan rumah..

*AnaluvQuran..

Syurga Atau Neraka??

Kita sekarang dihidupkan oleh Allah, di bumi Allah dan di dalam zaman yang Allah tentukan. Selepas itu kita akan dikembalikan, sama ada disedari atau tidak ke salah satu daripada dua negeri yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka.
Sekarang kita sedang berjalan ke destinasi yang kita sendiri pilih - syurga atau neraka. Allah menyediakan dua jalan untuk kita pilih. Terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada jejak ke syurga atau jejak ke neraka.
Namun begitu, Allah sudah memberitahu kita di dalam Al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan dan pengalaman manis di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan dan pengalaman ngeri di neraka. Nabi Muhammad saw. juga menguatkan lagi melalui hadith-hadithnya yang masih segar dibaca dan didengar hingga ke hari ini.
Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya. Setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah masukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya dia sengaja memilih jalan ke neraka. Terpulang kepada kita hendak mengikuti jejak syurga atau jejak neraka...


Pilih dan ikutlah jalan ke syurga sebagaimana yang disenaraikan di bawah:
#beramal semasa muda lagi
#bertolong-tolongan kerana ALLAH
#jauhi diri dan keluarga dari zina
#mendidik anak kewajipan beragama
#mendirikan solat wajib dan sunat
#bertahajjud di tengah malam
#menangis dan menginsafi diri kerana takut akan ALLAH
#bersedekah, menderma dan berwakaf secara senyap
#berpaut hati pada masjid
#sentiasa belajar hal-ehwal agama
#sembahyang berjemaah
#selalu berada di tempat pengajian agama
#menziarahi orang sakit
#mengiringi mayat hingga ke kubur
#mengadakan kenduri cara Islam
#mendamaikan pergaduhan
#menolong anak yatim dan miskin
#dan lain-lain perkara kebajikan





Pada masa yang sama hindarilah jejak neraka yang disenaraikan di bawah:
#tidak mengajar anak hal-hal keagamaan
#kaya tapi bakhil
#menipu
#mengambil arak, dadah dan yang memabukkan
#mengadakan majlis maksiat
#berzina
#memakan harta anak yatim
#meringankan sembahyang
#tidak mengeluarkan zakat
#panjang angan-angan dan tak mahu bertaubat
#meninggalkan sembahyang
#derhaka kepada ibu bapa
#berbuat fitnah
#suami dayus (membebaskan isteri)
#ibu bapa dayus (membebaskan anak)
#makan harta haram
#berbohong dan berdusta
#menggunakan sihir
#dengki dan khianat

Sementara kita diberi peluang oleh ALLAH untuk memilih jalan yang menentukan nasib kita pada masa hadapan, marilah sama-sama kita saling bantu-membantu menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar yang dewasa ini sudah kurang berfungsi dan tidak diberi keutamaan lagi.

Konsep Akhlak

Akhlak berasal dari kata “akhlaq” yang merupakan jama’ dari “khulqu” dari bahasa Arab yang artinya perangai, budi, tabiat dan adab. Akhlak itu terbahagi kepada dua iaitu Akhlak yang Mulia atau Akhlak yang Terpuji (Al-Akhlakul Mahmudah) dan Akhlak yang Buruk atau Akhlak yang Tercela (Al-Akhlakul Mazmumah).

Akhlak yang mulia, menurut Imam Ghazali ada 4 perkara iaitu : bijaksana, memelihara diri dari sesuatu yang tidak baik, keberanian (menundukkan kekuatan hawa nafsu) dan bersifat adil. Jelasnya, ia merangkumi sifat-sifat seperti berbakti pada keluarga dan negara, hidup bermasyarakat dan bersilaturrahim, berani mempertahankan agama, senantiasa bersyukur dan berterima kasih, sabar dan redha dengan kesengsaraan, berbicara benar dan sebagainya. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredhai oleh ALLAH SWT. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: "Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu".

Akhlak yang mulia iaitu akhlak yang diredhai oleh ALLAH SWT , akhlak yang baik itu dapat diwujudkan dengan mendekatkan diri kita kepada ALLAH iaitu dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan semua larangannya, mengikuti ajaran-ajaran dari sunnah Rasulullah, mencegah diri kita untuk mendekati yang ma’ruf dan menjauhi yang mungkar, seperti firman ALLAH dalam surah Ali-'Imran 110 yang artinya “Kamu adalah umat yang terbaik untuk manusia, menuju kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada ALLAH”

Akhlak yang buruk itu berasal dari penyakit hati yang keji seperti iri hati, ujub, dengki, sombong, nifaq (munafik), hasad, suudzaan (berprasangka buruk), dan penyakit-penyakit hati yang lainnya, akhlak yang buruk dapat mengakibatkan berbagai macam kerosakan baik bagi orang itu sendiri, orang lain yang di sekitarnya mahupun kerosakan lingkungan sekitarnya sebagai contohnya yakni kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini, sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah Ar-Ruum ayat 41 yang berarti: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bencana alam di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleb tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) karena ALLAH hendak merosakan mereka sebagai dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".