? ??????????????Absolution? ????? ?? ???Rating: 4.5 (8 Ratings)??448 Grabs Today. 4269 Total Grabs. ??????
Preview?? | ??Get the Code?? ?? ????1?? ?????Waterfalls? ????? ?? ???Rating: 4.2 (175 Ratings)??314 Grabs Today. 21594 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????For BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Saturday, 29 May 2010

Sebuah Dialog di Malam Hari, Buat Insan Bernama Dai'e…

"Akhi, dulu ana merasa semangat saat-saat aktif dalam dakwah. Tapi, kebelakangan ini rasanya semakin terasa hambar. Ukhuwah makin kering-kontang, bahkan ana melihat ternyata banyak ikhwah pula yang aneh dan pelik!"
Begitu keluh kesah seorang mad'u kepada murabbinya di suatu malam. Sang murabbi hanya terdiam, mencuba terus menggali semua kegelisahan dalam diri mad'unya.
"Lalu apa yang ingin anta lakukan setelah merasakan semua itu?" Sahut sang murrabi setelah sesaat termenung seketika.

"Ana ingin berhenti saja, keluar dari tarbiyah ini. Ana kecewa dengan perilaku dan sikap beberapa ikhwah yang tidak Islami. Juga dengan organisasi dakwah yang ana geluti, kaku dan sering mematikan potensi anggota-anggotanya. Jika terus begini, lebih baik ana bersendiri saja." Ikhwah itu berkata.

Sang murabbi termenung kembali. Tidak kelihatan raut terkejut daripada wajahnya. Sorot matanya tetap kelihatan tenang, seakan jawapan itu memang sudah diketahuinya sejak awal.

"Akhi, bila satu kali anta naik sebuah kapal mengharungi lautan luas. Kapal itu ternyata sudah rosak. Layarnya banyak berlubang, kayunya banyak yang reput, bahkan kabinnya penuh dengan sampah bauan kotoran akibat manusia. Lalu apa yang anta lakukan untuk tetap sampai pada tujuan?" Tanya seorang murabbi dengan kiasan yang mendalam maknanya.

Sang mad'u terdiam berfikir. Tak kuasa hatinya mendapat umpan balik sedemikian tajam dengan kiasan yang amat tepat.

"Apakah anta memilih untuk terjun ke laut dan berenang sampai tujuan?" Sang murabbi mencuba memberi jawapan kepadanya.

"Bila anta terjun ke laut, sesaat anta akan merasa senang. Bebas dari bau kotoran manusia, merasakan kesegaran air laut, atau bebas bermain dengan lumba-lumba. Tapi itu hanya sesaat. Berapa kekuatan anta untuk berenang sampai tujuan? Bagaimana bila ribut datang? Dari mana anta mendapat makan dan minum? Bila malam datang bagaimana anta mengatasi hawa dingin?"

Serentetan pertanyaan dihamparkan di hadapan sang ikhwah tersebut. Tidak semena-mena, sang ikhwah menangis tersedu-sedu. Tak kuasa hatinya menahan kegundahan sedemikian. Kekecewaannya kekadang memuncak, namun sang murabbi yang dihormatinya justeru tidak memberi jalan keluar yang sesuai dengan keinginannya.

"Akhi, apakah anta masih merasa bahawa jalan dakwah adalah jalan yang paling utama menuju redha ALLAH SWT?"

Pertanyaan yang menghujam jiwa sang ikhwah. Ia hanya mengangguk.

"Bagaimana bila ternyata kereta yang anta bawa dalam menempuh jalan itu ternyata rosak dan bermasalah? Anta akan berjalan kaki meninggalkan kereta itu tersadai di tepi jalan atau mencuba memperbaikinya?" Tanya sang murabbi lagi.

Sang ikhwah tetap terdiam dalam esakan tangis perlahannya. Tiba-tiba ia mengangkat tangannya.

"Cukup akhi, cukup. Ana sedar. Maafkan ana, InsyaALLAH ana akan tetap istiqamah.Ana berdakwah bukan untuk mendapat pingat kehormatan atau agar setiap kata-kata ana diperhatikan. Atau ana mendapat nama di sisi manusia. Biarlah yang lain dengan urusan peribadi masing-masing. Biarlah ana tetap berjalan dalam dakwah dan hanya Allah swt sahaja yang akan membahagiakan ana kelak dengan janji-janji-NYA. Biarlah segala kepedihan yang ana rasakan jadi pelebur dosa-dosa ana."

Sang mad'u berazam di hadapan sang murabbi yang semakin dihormatinya. Sang murabbi tersenyum.

"Akhi, jama'ah ini adalah jama'ah manusia. Mereka adalah kumpulan insan yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Tapi di sebalik kelemahan itu, masih amat banyak kebaikan yang mereka miliki. Mereka adalah peribadi-peribadi yang menyambut seruan Allah untuk berdakwah. Dengan begitu mereka sedang berproses menjadi manusia terbaik pilihan ALLAH SWT."

"Bila ada satu dua kelemahan dan kesalahan mereka, janganlah hal itu meresahkan perasaan anta. Sebagaimana ALLAH SWT menghapus dosa manusia dengan amal baik mereka, hapuslah kesalahan mereka di mata anta dengan kebaikan-kebaikan mereka terhadap dakwah selama ini. Kerena di mata ALLAH SWT, belum tentu antum lebih baik dari mereka."

"Futur, mundur lemah atau bahkan berpaling menjadi lawan bukanlah jalan yang masuk akal. Apabila setiap ketidakkesepakatan selalu diselesaikan dengan jalan itu, maka apakah dakwah ini dapat berjalan dengan baik?" Sambungnya panjang lebar.

"Kita bukan sekadar pemerhati yang hanya berkomentar. Atau hanya pandai menuding-nuding jari kerana sesuatu kesalahan. Kalau hanya itu, orang kafir pun boleh melakukannya. Tapi kita adalah dai'e. Kita adalah khalifah. Kitalah yang diberi amanat oleh Allah swt untuk menyelesaikan masalah-masalah di muka bumi. Bukan hanya membongkarnya, yang menjadikan ia semakin meruncing dan membarah."

Sang mad'u termenung sampai merenungi setiap kalimat murabbinya. Azamnya kembali menguat. Namun ada satu hal yang tetap bergelayut di hatinya.

"Tapi bagaimana ana boleh memperbaiki organisasi dakwah dengan kemampuan ana yang lemah ini?"

Sebuah pertanyaan konstruktif akhirnya muncul juga.

"Siapa kata kemampuan anta lemah? Apakah Allah swt menjadikan begitu kepada anta? Semua manusia punya potensi yang berbeza. Namun tak ada yang mampu melihat bahawa yang satu lebih baik dari yang lain!" Sahut sang murabbi.

"Bekerjalah dengan ikhlas. Berilah kerjasama dalam kebenaran, kesabaran dan kasih sayang pada semua ikhwah yang terlibat dalam organisasi itu kerana peringatan selalu berguna bagi orang yang beriman. Bila ada sebuah isu atau fitnah, tutuplah telinga anta dan bertaubatlah. Singkirkan segala prasangka anta terhadap saudara anta sendiri."

Malam itu sang mad'u menyedari kesalahannya. Ia bertekad untuk tetap hidup bersama jama'ah untuk tetap mengharungi jalan dakwah dan tarbiyah. Kembalikan semangat itu saudaraku, jangan biarkan putus asa itu hilang, ditelan gersangnya debu yang menerpa. Biarlah itu semua menjadi saksi sampai kita diberi dua kebaikan oleh ALLAH SWT.


Kemenangan atau Mati Syahid
Ikhlas adalah roh daripada setiap amal. Ikhlas adalah motivasi yang kuat agar amal kita tetap terjaga sentiasa, tidak usang kerana kepanasan dan tidak luntur kerana kehujanan, tidak ghurur kerana pujian dan tidak kendur kerana cacian. Terus bergerak ke arah tujuan yang paling tinggi puncak dan cita-citanya. Peliharalah keikhlasan dalam bekerja. Semoga kita sama-sama terus istiqamah dalam dakwah dan tarbiyyah.

Glosari kata
akhi = saudara lelakiku
ana = saya
ukhuwah = perhubungan
mad'u = murid
murabbi = guru
anta = kamu
geluti = hadapi dengan kesukaran
istiqamah = tetap
jama'ah = kumpulan yang mempunyai tujuan yang sama
futur = lemah/malas
ghurur = tertipu

MeMO untuk Si Belangkas...

Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana sini. Gadis hilang harga diri. Pemuda meratah dara sesuka hati. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.


Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!

Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah sahaja? Boleh khalwat lama-lama.

"Ingat nikah tu senang?!" Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Sama ada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumah tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi, dalam urusan jodoh, apa pun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang). Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis.

Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang menghampiri zina lagi tidak diredhaiNya.


Khusus buat pemuda-pemudi yang sedang dilamun cinta,


Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta. Teristimewa buat mereka yang tidak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, demi untuk meneruskan belajar atau mengejar cita-cita.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap.

Sedangkan ada hadis yang mana Nabi berpesan agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalu bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bakal bidadari dan seluruh isi rumahnya nanti. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betulkan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah... ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggungjawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiri pun sukar dibiaya apatah lagi membiayai hidup orang lain.

Faktor ini membuatkan sang pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani hidup.

Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin :



"Dan nikahkanlah orang yang sendirian antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia_Nya, dan Allah maha luas pemberian_Nya lagi maha mengetahui."
(An-Nur : 32)


Nah, itu jaminan Allah. Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?


Umar al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi: " Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya."

Nabi Muhammad s.a.w juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a : "Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak hairanlah Ibnu Mas'ud pernah berkata, "Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan," kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah An-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa,

Yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walauapapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Sama ada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.

Buat syabab,

Rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda : "Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik." (Riwayat Ahmad, Baihaqi dan lain-lain)

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!

Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan).

Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.

Laksanakanlah ikatan dengan mana paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a menjelaskan, "Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah memudahkan peminangan dan kemudahan maharnya". (Riwayat Ahmad)

Oh, kaum Hawa!

Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!

Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada_Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu berpuasalah." (Riwayat Bukhari)



Karya: Fatimah Syarha...
dipetik dari Majalah Solusi..

Thursday, 27 May 2010

Aku dan Tuhanku...

Berdiri dalam balutan telekung putih bersih
Dalam qiam ku bulatkan hati
Memusatkan minda hanya pada-Nya
Pohon di putuskan dari lingkaran duniawi
Kerna, aku ingin merasa nikmat
Lazatnya ibadah mengadap Allah
Aku ingin yang ada Hanya aku dan Dia yang maha mendengar
Seperti Dia sedang ku pandang
Dan Dia memandangku dengan ihsan dan kasih-sayang
Tuhan yang kusembah
Tempat ku berserah merayu kala hatiku gundah
Yang ku terima dengan redha qada dan qadar-Nya
Dengan rendah hati seorang hamba

Dalam rukuk dan sujud
Ku letakkan diri sekerdil mungkin
Sambil mulut basah dengan pujian pada-Nya
Berteleku antara dua sujud
Kyusu’ mengharap ampunan dan belas ihsan
Allah yang maha penyayang

Bersimpuh dalam Tahiyyat
Kupacakkan ibu jari kakiku, juga telunjuk mengiyakan Shahadat
Merendahkan diri dalam lafaz pujian
Memuliakan Junjungan s.a.w.

Kusempurnakan solat seusai dua salam
Tenggelam dalam lafaz istighfar
Memohon ampun pada-Nya atas dosa dan khilaf seorang hamba
Yang hina lagi tak sempurna
Namun masih tegar mengimpikan syurga di sana
Maka, ku tadah dua tangan
Memohon doa dengan sesungguhnya
Merayu dan mendayu
Penyesalan yang bersatu dalam rasa dan minda
Seiring derai airmata

Ya Allah,
Ku pohon ampun Ya Rabbi
Atas dosa dan kekurangan diri
Kerna sesungguhnya aku hamba yang menzalimi diri sendiri
Moga janganlah Kau bebani aku
Dengan ujian yang diluar kesanggupan diri
Dan Kau tetapkan kalbuku yang Kau miliki
Agar teguh dengan petunjuk yang Kau beri
Rahmatilah hidupku, ibubapaku dan keluargaku
Dalam pelukan kasih sayang-Mu
Yang melindungi kami dari panas neraka yang membara
Kerna, aku hanya ingin hidup dan mati
Di dalam pelukan agama
Yang Kau redha...
Amiin3 ya Rabbal 'alamin..

AKU INGIN BERUBAH....

YA ALLAH..
SYUKUR DI ATAS NIKMAT PANCAINDERA-MU..
DENGAN PENGLIHATAN…
AKU DAPAT MELIHAT SEGALA KEKUASAAN-MU…
MENGAGUMI SEGALA KEBESARAN-MU
NAMUN..
DENGANNYA JUALAH…
AKU MELAKUKAN KEMUNGKARAN PADA-MU..
MENJERUMUSKAN DIRIKU KE LEMBAH DOSA..
MELIHAT PADA YANG TAK SEPATUTNYA...
MEMBUATKAN DIRI INI ALPA SAAT HIDAYAH-MU TIBA..

SEKETIKA KU TERSEDAR…
MUNGKIN BELUM TERLAMBAT…
UNTUKKU PAHATKAN DALAM DIRI…
BAHAWA… AKU MAHU BERUBAH…!!!

YA ALLAH…
JIKA DULU AKU ANGKUH DI BUMI-MU…
ALHAMDULILLAH…
HIDAYAH-MU MEMATAHKAN KEANGKUHANKU..
MEMBANGUNKAN SIFAT MALU…
YANG SELAMA INI TERSOROK DALAM DIRI..

KU TUNDUKKAN PANDANGANKU…
YANG SELAMA INI MELIAR...
KU TIMBULKAN KEKELIRUAN..
PADA TEMAN-TEMAN..
KU TEMPIS SEGALA TEGURAN SINIS..
KU TEKADKAN DALAM KALBUKU...
BAHAWA… AKU MAHU BERUBAH…!!!

YA ALLAH…
JIKA DULU AKU LALAI DALAM
MENUNAIKAN HAK-MU...
TERLEKA DENGAN DUNIAWI…
TERKADANG KU ABAIKAN UKHRAWI…

SUBHANALLAH…
SESUNGGUHNYA KEKUASAAN-MU YANG PALING AGUNG...
KAU SEDARKANKU DI SAAT AKU HANYUT… MASIH TAK TERLAMBAT…
UNTUK SUATU PERUBAHAN…

KU AKUR PADA KEKUASAAN-MU…
LANTAS…
KU LAUNGKAN DALAM HATIKU…
AKU MAHU BERUBAH…!!!

YA ALLAH…
KU POHON HIDAYAH-MU…
DUHAI AYAHANDA & BONDA, SAHABAT-SAHABAT SERTA TEMAN-TEMAN…
BANTULAH DAKU… BIMBINGLAH DAKU…
DALAM MENCARI… CINTA YANG PALING AGUNG..
CINTA YANG ESA…
SESUNGGUHNYA…
AKU MAHU BERUBAH…!!!

Sujud Cinta Seorang Hamba....

Di atas hamparan sejadah suci
Hamba menadah kedua telapak tangan ini
Bagi memohon keampunan dan rahmat dariMu
Agar diberikan hamba hidayah serta taufiqMu
Supaya tidak tersimpang hamba dari jalanMu

Hati hamba merasa hambar dan sunyi
Tanpa iman dan semangat taqwa dalam hati
Jiwa hamba kosong dan takkan berisi
Melainkan dengan redha
Yang Maha Mengetahui
Yang menemukan hamba dalam bingkisan restu
Yang Maha Mengasihani

Saat tasbih mengisi ruang kosong di jari-jari
Mulut dan hati hamba bersatu berzikir mengingat Ilahi
Jiwa hamba terisi dengan munajat di malam hari
Diri ini hamba abdikan buat Pencipta langit dan bumi
Moga dosa-dosa lampau dapat dihapusi dan diampuni

Kening ini hamba rapatkan di atas hamparan murni
Sujud dahi hamba mencecah ke bumi
Tanda syukur hamba akan kebesaran Ilahi
Tidak terukur nilai cintaMu yang tinggi
Tidak terhitung nilai kasihMu yang bertambah setiap hari

Ya Rabbul Izzati…
Sudikah Kau menerima cinta hamba yang hina dengan longgokan dosa ini??
Semoga keampunan mendapat tempat untuk hamba yang sering lupa diri
Semoga rahmatMu sentiasa hadir menemani
Agar kehidupan duniawi dan ukhrawi hamba diredhai

Hamba amat mendambakan cinta dariMu
Hamba juga mengharapkan pertemuan denganMu
Diri hamba ini dahaga akan belaian kasihMu
Hamparan sejadah suci hamba buktikan padaMu
Sujud cinta hamba hanyalah untuk Tuhan yang berkuasa di atas segala sesuatu...

MENGAPA PERLU CINTA DAN TAKUT KEPADA ALLAH?

ALLAH segala-galanya. ALLAH itu penyelamat, pelindung, pendidik, pemberi hidayah, pemberi rezeki dan kawan setia kita. Kalau kita faham dan hayati itu, akan datang kasih sayang. Cinta kepada selain ALLAH tidak salah tetapi jangan mengatasi cinta kepada ALLAH. Tidak salah cinta kepada isteri, ibu bapa dan anak, tetapi jangan mengatasi cinta kepada ALLAH. ALLAH mewajibkan kita mencintai- Nya.

Mengapa kita disuruh cinta kepada ALLAH sedangkan ALLAH Maha Sempurna? Apakah ALLAH suruh kita mencintai- Nya untuk meninggikan derajatNya? ALLAH sudah sempurna. Ke-Mahasempurnaan ALLAH kekal dan azali. Tidak berkurang dan tidak bertambah. Cinta kita bukan untuk meninggikanNya. Kalau kita tidak cinta, tidak puji, tidak sembah, atau kita caci maki, ALLAH tidak tergugat dan tidak cacat. Berbeza dengan manusia. Manusia bila dihina dia cacat bila dipuji dia terangkat.

ALLAH yang menjadikan manusia, maka ALLAH tahu apa keperluan manusia lahir dan batin (rohaniah). ALLAH jadikan sebab-sebabnya supaya keperluan itu tercukupi. ALLAH mewajibkan kita cinta kepada ALLAH, di situlah datang rahmat dari ALLAH. Sebab manusia yang cinta kepada ALLAH, akan automatik cinta kepada makhluk ALLAH terutamanya sesama manusia.

Ertinya hamba ALLAH yang mencintai ALLAH nescaya perikemanusiaannya sangat tinggi. Dia pengasih pada orang lain, bertimbang rasa, kasihan, tidak boleh mendengar orang susah, sangat mengutamakan orang, sangat bekerjasama, suka menghibur orang, suka memaafkan dan meminta maaf dan sebagainya. Ini keperluan manusia. ALLAH tidak perlu cinta manusia. Kalau manusia tidak cinta ALLAH maka hilanglah perikemanusiaan seperti yang terjadi hari ini. Kalau sudah tidak cinta ALLAH, hidup individualistik, bagaimana hendak bekerjasama dengan orang lain? Ini yang terjadi. Bukan diri saja yang susah, masyarakat pun susah karena perikemanusiaan sudah tidak ada. Cinta sesama manusia sudah tidak ada kerana terputus cinta dengan ALLAH.

ALLAH tahu rahsia ini, sebab itu ALLAH suruh cinta kepada- Nya kerana kesannya kepada manusia bukan pada ALLAH. Kesan itulah yang menguntungkan manusia. ALLAH tahu bila cinta kepada ALLAH, terjadilah cinta sesama manusia. Di situlah untungnya manusia karena cinta-mencintai datang kasih sayang, bekerjasama, rasa bersama dan di situlah kebahagiaan.

ALLAH juga memerintahkan manusia untuk takut kepada-Nya. Mengapa demikian? Apakah ALLAH memerlukan takut manusia ini? Maha Suci ALLAH dari memerlukannya.

Bila manusia faham dan menghayati kehebatan, kekuasaaan, kegagahan, dan keadilan ALLAH maka dia akan takut kepada ALLAH. Jika senantiasa merasa diawasi ALLAH, maka dia tidak akan berani melanggar hukum-hukum ALLAH dan peraturan manusia yang tidak bertentangan dengan aturan ALLAH. Di mana pun dan pada bila masapun. Dia tidak akan sanggup menyakiti seluruh makhluk ciptaan ALLAH. Dia tidak akan sanggup berbuat mungkar dan maksiat, baik yang lahir maupun batin, kerana dia tahu keadilan ALLAH dalam membalas setiap perbuatan mungkar dan maksiat.

Monday, 24 May 2010

DENGARLAH WAHAI TEMANKU


Dengarkan teman ku,
Saat itu akan selalu mengejar,
Ke mana lagi arahnya kakimu ingin berlari
Kerna tak mungkin terjadi kau dapat melarikan diri
Kerna kematian itu akan tetap menghampiri

Maka saat ini
Mulakan segalanya dari awal
Kerna kita sudah tidak punya masa
Ingin bergegas menuju taman bahagia
Namun layakkah kaki melangkah ke sana?

Kasihannya wahai diri yang selalu mengharapkan
Tetapi diri juga lupa atas pertanggungjawaban

Tidak inginkah kita menjadi sehebat srikandi islam sejati?
Bila mana malam mampir
Beliau menghadap tuhannya
Dalam simpuhan ketaatan
Beliau berkata sendiri
‘Tuhanku bintang-bintang menjelma indah,

Mata manusia terlena sudah,
Ketika semua pintu sudah tertutup,
Tatkala unggas malam sahut menyahut,
Dan inilah aku,
Pandanglah aku,
Yang duduk dihadapanmu mengadu cintaku,
Yang selalu terganggu,
Mengintai kasihmu di perdu rindu.

Demikian rintihan hati Rabi’atul Adawiyah,
Lalu ditemuinya keindahan dan ketenangan,
Dihamparan indah kasih dan sayang tuhan.

Subhanallah….
Mengapa hati kita masih perit dan payah untuk meninggalkan yang bukan hak,
Mengapa diri kita sering berkata ‘tak boleh lagi’, bukan masanya…
Mengapa kita tidak terasa ada hidayah yang ingin hinggap,
Mengapa kita tidak pernah mencuba untuk menjadi insan taqwa biarpun dari sekecil-kecil iman.

Kini aku temui jawapan itu semua dalam satu hamparan,
Dengan hanya satu jawapan,
Benar hidayah itu milik Pencipta Agung,
hanya datang kepada sesiapa yang Dia kehendaki,
Namun kita yang tidak pernah mencari,
hidayah itu sungguh unik temanku,
Kerna hanya datang bagi yang mencari,
Maka temanku sayang,
Carilah ia biarpun dirimu masih belum temuinya juga,
Carilah dengan mata hati,
Kerna di situ bakal kau temui sesuatu yang paling berharga,
Jauh lebih indah dari perhiasan dunia sementara,
Apalah ada pada dunia yang tidak baqa’,

Ayuhlah kembalikan ketaatan yang ada dalam diri,
Kembalilah mengotakan janji kita sejak azali,
Bahawa ingin mengagungkan Cinta Allah.

Doaku untuk teman,
Semoga kita mampu bersama menjunjung kasih Ilahi,
Bersama berjuang melawan kehendak hati,
Bersama meraih cinta Agung yang sejati,
Bersama kuat untuk hindari maksiat
Agar menjadi srikandi hebat abad ini
Agar menjadi muslimah solehah idaman suami
Kerna kau temanku,
Maka aku menyayangimu….
Bertegaslah dengan hati yang selalu dikuasai makhluk najis bernama iblis…

Ingatlah temanku,
Cintamu itu tidak semestinya kau akan memiliki
Memiliki juga tidak semestinya kau bercinta
Tapi memiliki itu bakal melahirkan cinta yang suci
Tapi cinta itu belum tentu menghasilkan ketermilikan..


p/s: ana hadiahkan khas buat diri ana dan juga sahabat2 ana sekalian, noor khairul bariyah,norhidayah mustafa,nur farihah,fadhlin sakinah,nurul jannah,siti aishah,nura adila,kak fahimah,kak nure habibah,suhaila,eriqa umaira,cahaya kasih,kasturi melati,intan nabihah,noor izzah,fatin najihah,suria syahadah,humaira solehah,Ili wardah,sheila eiyla,kak mai,srikandi islam,kak ain humairah,fathihah wan ahmad,kak huda dan semua sahabat2 yang mengenali diri ana...
uhibbukum lillah...^_^